3 Amalan Pahalanya Sampai Pada Si Mati




Setiap kali pakai tudung ni teringat dan rindu benar pada adik susuan kekna arwah Enda. Setiap lepas solat teringat kat arwah. Nak tidur malam pon teringat.

Allahummaghfirlaha war hamha.

Siapa yang kenal kami, memang rapat sangat kami ni . Masa kat asrama dulu, Enda datang bilik kekna setiap malam untuk tidur sama-sama. Bayangkan katil single tu kami tidur berdua selama beberapa tahun😂 

Mari sama-sama, kita sedekahkan Al Fatihah untuk arwah.🤲

Kekna kongsikan sini beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh kita yang masih hidup untuk disampaikan pada si mati. Semoga terampun dosa dan bertambah pahala walaupun mereka telah pon meninggal kan dunia.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 

======
#1: "Sedekah jariah" ialah harta benda yang diwaqafkan kerana Allah Taala, seperti: 
======

1- Mewaqafkan sebuah kebun bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum. 

2- Mewaqafkan sebidang tanah untuk menjadi tapak masjid, surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.

3- Mendirikan masjid surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya. 

4- Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum. 

5- Mendirikan rumah "musafir khanah" untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya. 

6- Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang diredhai Allah seperti mendirikan hospital, mencetak al-Qur'an dan kitab-kitab Islam serta buka-buka pengetahuan yang berguna dan sebagainya. 

Amalan "waqaf" dalam Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. 

Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati . 

=====
#2 : "Ilmu yang berguna atau bermanfaat kepada orang lain
=====

Yang tersebut dalam hadith ini ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya kepada murid-muridnya dan orang ramai, atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya. 

Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati . 

======
#3: "Anaknya yang soleh yang berdoa untuknya" 
======

Doa anak kepada kedua ibu bapanya, sama ada anak itu orang yang soleh atau sebaliknya adalah baik dan berguna. Tetapi doa anak yang soleh lebih diharap tentang makbulnya. 

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menarik perhatian tentang kelebihan anak yang soleh dalam hadithnya ini, supaya ibu bapa mendidik anak-anak masing-masing dengan sebaik-baiknya sehingga anak itu menjadi orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. 

Kedua ibu bapa akan mendapat rahmat disebabkan usahanya mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baiknya dan mendapat rahmat pula disebabkan doa anaknya yang soleh itu. 

Kematian adalah tazkirah paling hebat. Paling menginsafkan. Jom lah kumpul sebanyak pahala kebaikkan untuk disampaikan pada saudara mara dan sahabat kita yang dah berpindah alam dan juga sebagai bekalan untuk diri sendiri.

Aeinna Musa
Bakal Jenazah😌





Post a Comment

0 Comments